Tuesday, June 23, 2009

Pembangunan Di Tepi Sungai, Bandar Teluk Intan.

Semasa pulang dari tempat kerja saya terpandang sebuah papan kenyataan pembangunan yang didirikan di tepi jalan. Satu kawasan yang saya kira sangat berpotensi untuk dibangunkan untuk kemudahan rekreasi kerana tapak pembangunan ini terletak bersebelahan dengan Sungai Perak dan sebuah kawasan rekreasi sediada. Kawasan rekreasi sediada ini juga tidaklah terlalu besar dan pada pandangan saya ia tidak dapat menampung keperluan rekreasi bagi penduduk Bandar Teluk Intan. Jadi, amatlah baik jika Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merancang tapak yang ingin dimajukan ini sebagai sebuah projek pembesaran kawasan rekreasi di Teluk Intan.

Namun demikian, menjadi sesuatu yang malang apabila PBT tidak menyedari mengenai hal ini. Papan kenyataan projek yang didirikan adalah untuk sebuah pembangunan kedai pejabat 3 tingkat!! Sebuah pembangunan yang melebihi 2 tingkat dilaksanakan di atas tanah bersebelahan sungai dan terletak di pusat bandar Teluk Intan. Pembangunan ini adalah sesuatu yang amat malang bagi penduduk Teluk Intan. Banyak perkara yang boleh dipertikaikan mengenai pembangunan ini.

1. PBT sepatutnya mengkaji mengenai kemampuan struktur tanah bersebelahan sungai sebelum membuat pembangunan yang melibatkan bangunan tinggi. Mampukah tanah berstruktur lembut berhampiran sungai menampung berat bangunan ini. Disamping itu, kekerapan banjir yang berlaku di kawasan sungai Perak di Bandar Teluk Intan juga dikatakan tinggi. Adakah pembangunan ini bebas impak bencana banjir? Mungkin satu hari nanti kawasan lain yang menerima padah akibat daripada pembangunan ini. Soal keselamatan nampaknya langsung tidak diambil peduli oleh PBT!!!

2.Apakah rasionalnya PBT meluluskan sebuah pembangunan melebihi 2 tingkat di tapak bersebelahan sungai dan kawasan rekreasi. Pembangunan seperti ini memberi impak terhadap pemandangan indah di tepi sungai dan juga bagi pengunjung kawasan rekreasi berhampiran. Apakah PBT kira penduduk Bandar Teluk Intan tidak berhak menikmati pemandangan alam sekitar yang indah? Pembangunan yang mempunyai bilangan tingkat yang banyak ini hanya untuk projek burung layang-layang oleh tauke-tauke besar sahaja! Satu kerugiaan yang ditanggung oleh beribu-ribu penduduk sekitar hanya untuk keuntungan tauke-tauke yang disokong oleh PBT!!!!

3.Pembangunan ini hanya untuk keuntungan pihak-pihak tertentu sahaja! Tiada keuntungan yang akan dikecapi oleh rata-rata penduduk Teluk Intan. Pembangunan ini hanya untuk menambah kekayaan tauke-tauke sarang burung layang-layang sahaja. Bagaimana dengan hak orang lain sebagai penduduk bandar ini? PBT mengambil perkara ini dengan sangat ringan. Sekiranya pembangunan ditukar kepada pembangunan rekreasi, bukan sahaja saiz kawasan rekreasi di Teluk Intan bertambah, potensi keindahan Sungai Perak juga dapat diekspoitasi dengan lebih berkesan untuk memajukan kawasan Bandar Teluk Intan. Disamping itu, sekiranya PBT membesarkan kawasan rekreasi di tepi sungai ini dan membangunkan beberapa pusat penjaja untuk kemudahan pengunjung, ia dapat membantu meningkatkan pendapatan penduduk miskin di Teluk Intan.

PBT sepatutnya merancang dan meluluskan pembangunan dengan lebih teliti dan ikhlas untuk negara dan kepentingan orang ramai yakni rakyat. Saya yakin hal ini sebenarnya mengelirukan ramai pihak dan menimbulkan perasaan tidak puas hati penduduk.

No comments:

Post a Comment