Sunday, June 28, 2009

Bangkitlah MARA

MARA merupakan sebuah institusi yang diwujudkan sejak awal zaman kemerdekaan lagi. Perkhidmatan dan kemampuan institusi ini dipertingkatkan dan diperluaskan selepas tahun 1969 untuk memperbaiki tahap ekonomi kaum bumiputera. Sejak itu jasa dan kebaikan yang dibawa oleh MARA amat besar dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kini MARA mempunyai pelbagai kemudahan dan peruntukan yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk lebih menjana ekonomi orang Melayu. Setiap daerah di Malaysia mempunyai sebuah pejabat MARA yang bertujuan untuk mendengar dan membantu menyelesaikan masalah ekonomi orang Melayu melibatkan penyediaan tempat berniaga, pinjaman, bantuan kemahiran seperti kursus dan pelbagai lagi.

Matlamat MARA untuk membantu orang Melayu sangat jelas namun diperingkat pelaksanaannya adalah sekadar melepaskan batuk di tangga. Masih terlalu banyak kelemahan yang dikesan diperingkat pelaksanaan sesuatu agenda ekonomi orang Melayu. Masalah diperingkat pelaksanaan ini banyak melibatkan masalah yang dilakukan oleh kakitangan-kakitangan MARA sendiri. Tidak perlu disalahkan kepada sistem yang digunapakai oleh MARA kerana jika sistem terbaik di dunia sekalipun tidak akan berjaya jika sikap dan mentaliti kakitangan MARA tidak dibaiki terlebih dahulu.

MARA telah berjaya menyediakan tempat bagi Bumiputera yang ingin berniaga seperti bangunan-bangunan plaza perniagaan, kedai dan gerai. Namun adakah tempat-tempat perniagaan ini maju dan membantu meningkatkan taraf ekonomi Bumiputera? Kebanyakan tempat-tempat perniagaan ini mempunyai potensi sebagai kawasan terbaik bagi perniagaan namun tidak berjaya menarik ramai pengunjung untuk membeli belah. Contoh seperti Plaza Anggerik Shah Alam, Plaza Teluk Intan dan banyak lagi. Ini adalah disebabkan MARA mempunyai masalah di dalam pengurusan aset mereka. Tiada sebarang langkah lanjutan untuk membantu mereka yang berniaga di kawasan perniagaan yang MARA sediakan. Malah sebarang idea oleh penyewa untuk meningkatkan perniagaan mereka menemui jalan yang penuh birokrasi dan sukar. Sebagai contoh tiada papan iklan perniagaan di bangunan MARA di Teluk Intan. Ada penyewa yang sudah menyuarakan idea mereka untuk meletakkan papan iklan di luar bangunan MARA itu namun menemui jalan sukar.

MARA mempunyai pelbagai kemudahan yang sangat diperlukan oleh kaum Bumiputera untuk meningkatkan tahap ekonomi. Namun MARA tidak menggunakan kemudahan dan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin di dalam menguruskan sesuatu projek pembangunan Bumiputera. Sesuatu perlu dilakukan oleh MARA untuk menjadi satu badan institusi yang disegani di dalam membantu memberi jalan untuk kaum Bumiputera bangun bersaing.

Orang Melayu bukanlah suatu kaum yang hanya mengharapkan tongkat untuk berdiri. Orang Melayu boleh berdiri sendiri. Namun tidak salah jika kerajaan memberi tongkat kepada Melayu yang kurang mampu, tetapi janganlah tongkat yang diberikan itu rapuh ditengah jalan...

No comments:

Post a Comment