Seorang kawan saya ada menceritakan betapa seronoknya dia pergi ke Melaka. Suasana dan pemandangan di Melaka sudah berubah dan dia merasakan seperti dirinya tidak berada di Malaysia. Sungguh teruja lagaknya. Tetapi tidak bagi saya.
Jika Melaka sudah berubah seperti London, Amsterdam atau Paris, ia bukanlah sesuatu yang membanggakan. Yang membanggakan adalah jika Paris, London atau Bangkok yang berubah menjadi Melaka. Apakah kita tidak sedar bahawa Melaka itu kehilangan identitinya sebagai sebuah pusat ketamadunan Melayu dan Islam. Kerosakan identiti bandar-bandar yang melanda Malaysia tidak berlaku ketika zaman penjajahan tetapi berlaku di tangan kita sebagai rakyat Malaysia yang merdeka. Sekiranya ketika zaman penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris, pembangunan bandar-bandar dan pusat penempatan dirancang mengikut pengalaman dan pengetahuan pihak penjajah mengenai bandar. Tiadalah salah bagi mereka membangunkan bandar mengikut pengetahuan mereka kerana apa yang ada pada mereka ketika itu adalah ilmu perancangan bandar mereka. Dan rakyat Malaysia ketika itu juga tidak berpeluang merancang sendiri pembangunan negara mereka.
Namun kini, pembangunan yang dilaksanakan adalah bebas dilaksanakan mengikut acuan kita sebagai rakyat Malaysia yang merdeka. Segala perancangan, keputusan dan pembangunan dilakukan oleh tangan kita tanpa sebarang campur tangan pihak luar. Tetapi mengapa apabila keadaan mengizinkan kita merancang sesebuah bandar lebih-lebih lagi sebuah bandar warisan, kita bangunkan ia mengikut acuan luar dan mengetepikan identiti Malaysia? Ini adalah disebabkan rakyat Malaysia terpengaruh sedikit sebanyak dengan pembangunan yang dilaksanakan di luar negara. Disebabkan pengaruh budaya luar ini, kita semakin mengetepikan budaya kita sendiri yakni budaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Perancangan Bandar dan Desa di Malaysia sepatutnya mengambil berat mengenai permasalahan ini. Masalah hakisan budaya dan jatidiri Malaysia di dalam perancangan pembangunan bandar di Malaysia. Masalah ini berlaku dan semakin ketara. Mungkin satu hari nanti kita tidak lagi melihat Malaysia di dalam Malaysia tetapi hanya di dalam muzium. Kita hanya melihat London, Paris dan New York di bandar-bandar dalam negara kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment