Aku bukan pujangga,
Juga bukan ketua-ketua rimba.
Sedangkan mereka senang bertarung,
Di dalam rimba sebesar tempurung.
Mungkin bertarung, juga mungkin terpasung.
Di dalam belenggu kuasa, hanya di atas kerusi biasa.
Demi kerusi ketua rimba, demi nafsu yang membara,
Singa dan buaya bertelagah, kancil menunggu untuk mencelah.
Kerana tempurung kuasa, kerana kerusi nafsu;
Singa menjadi biawak, buaya menjadi katak,
Kancil bijak menjadi tamak.
Wajarkah tempurung kuasa,
Yang berlantai kehinaan, berbumbung keangkuhan.
Tidak! Aku ingin kuasa menjadi mulia.
Agar rimba menjadi syurga,
Agar binatang menjadi manusia.
Puisi ini saya tulis berdasarkan kekeliruan dan kerisauan terhadap keadaan politik dan pendukung-pendukung prinsip sesetengah parti politik. Kekeliruan mulai menyerang benak fikiran saya apabila kerajaan Negeri Perak mengumumkan barisan exco kerajaan negeri yang baru. Saya mula mencurigai kemampuan Parti Pas di dalam memperjuangkan dan menegakkan Islam sebagai teras di dalam aspek pentadbiran kerajaan. Bagaimana Pas ingin menerapkan Islam di dalam kerajaan yang terdiri daripada barisan exco yang majoritinya orang bukan Islam? Saya tidak hairan sekiranya Pas tidak mempertahankan kaum Melayu kerana ia sememangnya bukanlah prinsip perjuangannya, namun saya hairan apabila Pas berkompromi dan kurang mempertahankan prinsip perjuangan mereka iaitu Islam di dalam pembentukan Kerajaan Negeri Perak.
Negeri Perak mempunyai bilangan penduduk yang majoritinya beragama Islam selayaknya mempunyai ahli barisan exco kerajaan negeri yang beragama Islam lebih ramai atau setidak-tidaknya menyamai jumlahnya dengan ahli yang bukan beragama Islam. Pas sepatutnya mempertahankan prinsip ini dan bukannya berkompromi dan membentuk kerajaan yang tidak seimbang lalu menggelarkan “Kerajaan Barisan Rakyat”. Gelaran ini tidak menggambarkan apa yang sedang terjadi. Rakyat hanya memilih ADUN atau wakil rakyat yang berkhidmat di kawasan mereka sahaja dan tidak memilih barisan exco kerajaan negeri. Melihat kepada komposisi kaum atau agama di Negeri Perak, saya yakin sekiranya rakyat diberi peluang untuk memilih barisan exco, DAP di Negeri Perak tidak mungkin mendapat bilangan kerusi exco seperti yang mereka miliki ketika ini. Sewajarnya DAP perlu berterima kasih kepada Pas dan PKR kerana sikap yang amat bertolak ansur ini. Adakah ketidakseimbangan kerajaan ini membolehkan ia layak digelar sebagai “Kerajaan Barisan Rakyat”? Adakah ia benar-benar mewakili suara rakyat?
Namun demikian, saya redha dengan apa yang telah terjadi dan menerimanya dengan hati terbuka serta mengharapkan yang terbaik daripada Allah S.W.T. Walau bagaimanapun sedikit kekesalan hadir di hati melihat sikap politikus yang tidak tetap pendirian idealogi, tiada prinsip perjuangan dan hanya pandai mengaburi mata-mata penyokong. Saya juga sedih dengan penyokong-penyokong yang menjulang pemimpin mereka tanpa ilmu pengetahuan dan pertimbangan yang rasional. Hal ini terjadi di dalam setiap parti politik di Malaysia, di mana ahli parti politik lebih memahami dan menyokong pemimpin mereka berbanding mendukung prinsip dan perjuangan parti.
Marilah kita rakyat Malaysia membentuk minda kelas pertama dan bersikap serta berfikiran rasional dan waras di dalam setiap perkara. Ketepikan perbezaan dan terus menyabung nyawa, berjuang dengan kekuatan agama, bangsa dan tanah air demi membentuk rakyat yang bersatu-padu, aman dan harmoni.
Karangan ini saya buat bertujuan untuk dihantar ke Utusan. Namun tidak disiarkan. Tarikh karangan ini disiapkan ialah 31.03.08.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment